Kita sama-sama fikir
Amat diharapkan agar anda dapat berkongsi pendapat dengan memberikan komen, agar sama-sama kita boleh berkongsi pendapat dan pandangan
Wednesday, 17 August 2011
Segera ketatkan jualan asid
KUALA LUMPUR 17 Ogos – Kerajaan digesa segera melaksanakan cadangan untuk memperketatkan penjualan asid kepada orang awam bagi mengekang kejadian simbahan asid yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Mohd. Khairun Aseh memberitahu, langkah itu wajar dilakukan segera dan sekiranya tidak, lebih ramai khususnya wanita dan kanak-kanak akan menjadi mangsa.
Beliau turut mencadangkan agar hukuman ke atas jenayah simbah asid ditambah bagi menakutkan pelaku.
“Sebagai contoh, satu kes simbah asid di Bangsar baru-baru ini, pesalah dihukum mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa kepada tiga tahun penjara atau denda RM1,000 sahaja.
“Jika dibandingkan dengan kesengsaraan dan kesan kekal pada anggota badan mangsa yang melecur, hukuman itu terlalu ringan,” katanya ketika ditemui semasa melawat seorang mangsa simbahan asid di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Mangsa, Mohd. Rafie Abdul Latiff, 27, disimbah asid oleh seorang lelaki tidak dikenali, ketika berada di dalam keretanya, di kawasan tandas awam berhampiran Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi, 8 Ogos lalu.
Menceritakan kembali kejadian itu, Mohd. Rafie berkata, semasa insiden dia berada di tempat duduk penumpang dan sedang menunggu seorang rakannya yang ingin menggunakan tandas awam.
“Seorang lelaki tidak dikenali secara tiba-tiba membuka pintu kereta sebelah pemandu lalu menyimbah cecair dipercayai asid ke arah saya.
“Mujurlah rakan saya yang mendengar jeritan mengambil air dari tandas dan menyimbah untuk meringankan kesan,” katanya lagi.
Mohd. Khairun memberitahu, sebuah jawatankuasa tabung amanah telah ditubuhkan bertujuan untuk mengumpul dana dan sumbangan orang ramai bagi membiayai kos perubatan Rafie.
“Seperti dua kes yang sama, kos perubatan mangsa simbah asid agak tinggi dan mengambil masa yang panjang,” katanya.
Sementara itu, bapa Rafie, Abdul Latiff Kassim, 61, meluahkan rasa sedih dengan nasib yang menimpa anak ketiganya yang masih bujang itu.
“Saya mencadangkan lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di lokasi tumpuan yang diharap dapat membantu mengesan suspek dengan lebih mudah,” jelasnya.
Pada 14 Mei lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyarankan peraturan penjualan asid diperketatkan agar ia tidak sewenang-wenangnya dibeli oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
copyright to utusan
Nik Aziz juga tak setuju guna pembesar suara
Nik Aziz juga tak setuju guna pembesar suara
Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my
2011/08/15
Umat Islam wajar hormati sensitiviti masyarakat sekelilingKOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, tidak bersetuju dengan amalan bacaan al-Quran dibuat menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu masyarakat sekitarnya.
Sekiranya membaca al-Quran melalui pembesar suara sehingga menyusahkan orang sakit atau menyebabkan budak menangis akibat terkejut, ia memang tidak dibenarkan. - Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan
Katanya, sekiranya perbuatan membaca al-Quran melalui pembesar suara dengan kuat sehingga menyusahkan orang sakit atau menyebabkan budak menangis akibat terkejut, ia memang tidak dibenarkan.“Sekiranya bacaan al-Quran melalui pembesar suara itu menyebabkan rungutan masyarakat terutama yang sakit, lebih baik gunakan wang yang digunakan untuk tenaga elektrik itu (pembesar suara) bagi tujuan dakwah.
“Sebenarnya, apa yang diminta dilaungkan secara kuat ialah azan, manakala qamat serta baca al-Quran terutama ketika sembahyang adalah tidak digalakkan untuk dilaungkan. Namun di Kelantan masyarakatnya seronok mendengar bacaan al-Quran dari-pada pembesar suara,” katanya selepas merasmikan Koperasi Rakyat Kelantan Berhad (KRKB), di sini, semalam.
Beliau memberitahu pemberita apabila diminta mengulas mengenai tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang yang mengeluarkan pekeliling mengarahkan semua masjid dan surau di negeri itu menghentikan penggunaan sistem pembesar suara ketika bacaan al-Quran pada waktu sebelum Subuh kerana amalan itu bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.
Di GURUN: BERNAMA melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedia berbincang dengan Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang bagi menangani isu salah faham fatwa yang mengarahkan pembesar suara tidak digunakan untuk memperdengarkan bacaan al-Quran sebelum waktu Subuh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pihaknya akan meminta JAKIM membincangkan permasalahan itu kerana terdapat perkara yang perlu diselesaikan pada peringkat pentadbiran terlebih dulu.
“Kita minta JAKIM memanjangkan perkara ini untuk diperbincangkan bersama sebab ada perkara yang perlu kita selesaikan pada pentadbiran yang bukan memerlukan kepada muzakarah ataupun fatwa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Perdana bersama Menteri di Surau Kampung Kilang Ketapan, di sini, kelmarin.
Beliau berkata, isu azan itu juga wajar dibahaskan dalam perbincangan Muzakarah Fatwa supaya dapat memberi manfaat kepada seluruh umat Islam di negara ini.
copyright to berita harian
Dunia kecam tindakan Israel
Dunia kecam tindakan Israel
2011/08/18
Langkah perluas penempatan Yahudi dianggap sabotaj usaha damaiNEW YORK: Kuartet rundingan damai Asia Barat, Amerika Syarikat, Russia, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin menyelar tindakan Israel untuk meluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan menyifatkannya mengancam usaha damai.
EU juga mendesak Israel menamatkan sekatan terhadap Ibu Pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), iaitu Orient House. Kecaman terbaru ke atas Israel dibuat ketika di tengah usaha hebat oleh wakil khas kuartet Tony Blair memperhebatkan usaha untuk membawa Palestin dan Israel kembali ke dalam rundingan secara bersemuka.
“Kuartet amat bimbang dengan pengumuman terbaru Israel untuk meneruskan rancangan membina unit perumahan di Ariel dan Baitulmaqdis Timur,” kata keempat-empat negara itu dalam satu kenyataan.
“Ia berlaku ketika keadaan yang semakin kritikal dengan usaha Kuartet untuk meneruskan rundingan menjadi satu-satunya cara untuk penyelesaian adil dalam konflik,” tambah kenyataan itu.
Israel Isnin lalu meluluskan pembinaan 277 rumah baru di Ariel, sebuah penempatan Yahudi di Tebing Barat, menjadikan lebih 2,700 penempatan baru diluluskan sejak dua minggu lalu.
Rancangan perluasan itu menimbulkan kemarahan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang menghentikan rundingan langsung sejak Israel menamatkan perjanjian membekukan pembinaan penempatan Yahudi September tahun lalu.
Israel, bagaimanapun menolak kritikan antarabangsa dan menegaskan bahawa penempatan itu bukan satu halangan terhadap rundingan damai secara terus.
“Palestin berunding banyak kali bila penempatan itu wujud,” kata Duta Israel ke PBB , Ron Prosor.
“Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu membekukan penempatan ketika Palestin menunggu sembilan bulan untuk kembali ke meja rundingan,” katanya.
Kedua-dua pihak terbabit dalam konfrontasi diplomatik terbaru apabila presiden Palestin Mahmud Abbas bersiap sedia untuk mendapatkan penyertaan penuh sebagai anggota penuh pada Perhimpunan Agung PBB September ini. – AFP
copyright to bharian
Subscribe to:
Comments (Atom)